15 Ogos 2021

Journal Mental 1 : Konsultansi Dengan Pakar Psikologi Klinikal. Pengalaman Pertama Konsultansi Mental

Design vector created by freepik - www.freepik.com


Journal Mental 1. 06 Julai 2021 - Seksyen 7 Shah Alam.

Sempena Bulan Julai iaitu Bulan Kelahiran aku pada usia 34 tahun ini, aku memutuskan untuk menjadikan Bulan Julai sebagai Bulan Kesedaran

Pada 6 Julai 2021, saya mula bertanya pada salah satu Pusat Pakar Psikologi (setelah terlintas tengok dalam Youtube tentang pengalaman Youtuber berjumpa dengan Pakar Psikologi) dan saya mula setup appointment untuk kali pertama pada 10 Julai 2021, jam 2.00pm. Appointment ini pada awalnya untuk saya mencari Diagnosis tentang Attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD). Sebelum daripada itu, saya banyak melihat perkongsian Youtube berkaitan dengan ADHD di kalangan dewasa dan mencari maklumat berkaitan dengan ADHD di carian Google. Maklumat berkaitan ADHD atau Masalah Psikologi di kalangan dewasa agak terhad di Malaysia yang kebanyakkannya fokus kepada kanak-kanak jadi aku lebih banyak melihat perkongsian daripada Youtuber English.

Sebetulnya aku memang telah lama mengesyaki bahawa aku mempunyai masalah psikologi dan dengan pengetahuan yang terhad, aku tak dapat nak meluahkan kepada orang lain. Pada sebelum ini , aku hanya ingatkan bahawa aku ini mempunyai masalah mental seperti kemurungan, keresahan atau stress. Semakin aku mengali maklumat berkaitan psikologi, semakin aku merasakan bahawa kebanyakkan perkara itu adalah selari dengan apa yang aku lalui dari kanak-kanak, remaja, bujang, berkahwin, dewasa ini. Pada umur 34 tahun dengan mempunyai kewangan agak stabil baru aku mula timbul rasa berjumpa dengan pakar psikologi (disamping faktor-faktor stress di tempat kerja juga).

Oleh kerana Selangor dalam Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) pada ketika itu, jadi aku mohon Surat Temujanji untuk digunakan rentas daerah. Surat itu juga aku bawakan ke Balai Polis untuk mohon lepas daerah dan Polis menyatakan tidak perlu surat permohonan dan cukup sekadar surat temujanji itu sahaja.

10 Julai 2021. Temujanji aku adalah pada jam 2.30 petang, sebetulnya perasaan kali pertama jumpa Pakar Psikologi adalah biasa sahaja. Jika lebih tepat, perasaan kosong. Mungkin disebabkan aku mempunyai masalah untuk regulate emosi, jadi ia menjadi perkara biasa dan sebelum itu juga telah berhubung secara WhatApp dengan Admin di situ. Pada waktu itu cuma ada 3 orang dan 2 bilik terapi. Tak lama pun menunggu sebab dan buat appointmnet 2.30 petang.

Kemudian giliran aku dipanggil untuk masuk ke dapat bilik terapi bersama ahli psikologi klinikal, Cik Imn. Setelah diperkenalkan diri, mungkin sesi telah bermula tanpa sedari. Sesi lebih kepada luahan apa yang terlintas difikiran, perasaan, memori-memori yang kita ingat semasa kecil, kanak-kanak, remaja dan dewasa. Tanpa disedari waktu 1 jam sesi sudah sampai ke penamatnya. Sebenarnya walaupun banyak luahan dikeluarkan, jiwa aku masih macam biasa. Jadi aku berpendapat, meluahkan perasaan tidak memberikan apa-apa kesan kepada aku.

Untuk sesi konsultansi yang pertama aku dah bayar deposit sebanyak RM60 dan bakinya sebanyak RM100. Jadi jumlah bayaran sesi konsultansi adalah sebanyak RM160 (USD 38) dan kemudian set untuk Sesi kedua pada 28 Julai 2021

Kemudian aku menjadi Hyperfocus untuk hal berkaitan Psikologi ini dan mula mendengar perkongsian, seminar, ceramah dan segala info-info berkaitan Psikologi. Apa yang dikongsi dengan ahli psikologi dan apa yang aku fikirkan dan melihat memori pada waktu kecil, segala ciri-ciri beberapa masalah neurological development aku semakin terjawab. Pada saat ini cuma aku harapkan ada sesuatu, sesiapa mengesahkannya secara rasmi.