Apakah yang di katakan mati otak?
Mati otak ialah keadaan tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak (termasuk batang otak iaitu bahagian otak yang mengawal aktiviti-aktiviti penghidupan seperti penafasan dan denyutan jantung) tidak lagi berfungsi. Kehilangan fungsi otak ini tidak boleh di pulihkan.
Mati otak dan pendermaan organ.
Pemindahan organ hanya dilakukan setelah pesakit disahkan mati otak. Bagi melaksanakan pemindahan ini, anggota perubatan perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada ahli keluarga terdekat penderma. Pembedahan pemindahan organ hanya akan dilakukan setelah mendapat kebenaran ahli keluarga pesakit yang mengalami mati otak tersebut.
PERSOALAN MENGENAI MATI OTAK DAN PENDERMAAN ORGAN.
1. Saya diberitahu oleh pakar perubatan bahawa ahli keluarga saya mengalami mati otak. Dengan segala peralatan sokongan diberikan, bagaimana pakar perubatan mengatakan bahawa ahli keluarga saya itu benar-benar telah meniggal dunia.
Jawapan: pakar perubatan akan menjalankan ujian-ujian tertentu untuk menjelaskan bahawa pesakit benar-benar telah meninggal dunia.
Seseorang pesakit itu dikatakan telah meniggal dunia apabila.
· Tidak boleh bernafas tanpa adanya alat bantuan penafasan (ventilator)
· Anak mata tidak memberikan sebarang tindak balas kepada cahaya.
· Tiada tindak balas kepada batan otak (brainstem reflexes)
· Ujian juga akan menunjukkan tiada pengedaran darah ke otak.
2. saya di fahamkan apabila individu itu meninggal dunia, jantungnya berhenti berdenyut. Sekiranya ahli keluarga saya mengalami mati otak, kenapa jantungnya masih berdenyut?
Jawapan: jantung sebenarnya mempunyai pacemaker tersendiri daripada otak. Jantung akan berdenyut selagi mendapat oksigen. Jantung ini boleh dikeluarkan daripada badan dan diletakkan dalam larutan tertentu serta diberikan oksigen untuk terus berdenyut. Sehubungan itu selepas mati otak, jantung boleh berdenyut buat beberapa waktu tetapi akan berhenti tidak lama selepas itu walaupun dengan bantuan maksimum.
3. Adakah dengan menghentikan alat bantuan respiratori boleh menjadi penyebab kepada kematian ahli keluarga saya itu serta tidak memberinya peluang untuk meneruskan kehidupan?
Jawapan: apabila pesakit disahkan mati otak, dia sebenarnya telah meninggal dunia. Otaknya tidak berfungsi lagi. Oleh kerana pesakit telah meniggal dunia, tindakan memberhentikan bantuan respiratori tidak merupakan penyebab kematian. Bantuan respiratori hanya membuatkan jantung pesakit berdenyut untuk seketika tetapi jantung itu tetap juga berhenti walaupun dengan semua bantuan yang diberikan.
4. Adakah rawatan ke atas saya diabaikan sekiranya diketahui saya telah mendaftar sebagai penderma organ?
Jawapan: tidak. Semua pesakit akan diberikan rawatan dan perhatian yang sewajarnya tanpa mengira sama ada anda telah mendaftar sebagai penderma organ atau tidak. Pegawai perubatan akan berusaha sedaya upaya mungkin dengan mengambil semua tindakan serta langkah yang diperlukan untuk menyelamatkan nyawa anda. Persoalan mengenai pendermaan organ adan tisu hanya akan dibincangkan dengan waris selepas kematian telah disahkan.

5. Apakah organ dan tisu yang boleh didermakan?
Jawapan: Organ-organ yang boleh didermakan adalah buah pinggang, jantung, hati (hepar), paru-paru dan pancreas. Tisu-tisu pula adalah mata (kornea), tulang, kulit dan injap jantung.
6. Adakah kami akan diberitahu organ mana yang di ambil dan kepada siapa organ tersebut didermakan.
Jawapan: Pusat transplan akan memaklumkan kepada keluarga penderma berkaitan organ yang di ambil dan sedikit maklumat berkaitan penerima. Namun begitu nama akan dirahsiakan dan tidak diberikan kepada keluarga penderma dan penerima.
7. Adakah keluarga penderma perlu membayar kos pembedahan pemindahan organ atau tisu yang di jalankan?
Jawapan: Tidak. Keluarga penderma tidak perlu membayar kos pembedahan. Namun begitu kos rawatan sebelum pembedahan pemindahan organ dijalankan masih di bawah tanggungjawab keluarga penderma.
8. Bagaimanakah pemindahan organ dijalankan?
Jawapan: proses pemindahan organ dan tisu adalah suatu pembedahan yang bersih dan steril. Pembedahan dijalankan oleh pakar bedah yang berpengalaman. Perolehan organ serta tisu tidak akan menjejaskan rupa dan bentuk tubuh badan penderma. Selepas organ dan tisu diperolehi, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna dan jenazah penderma tidak akan mengalami sebarang kecacatan fizikal. Proses pembedahan pemindahan ini dijalankan dengan rasa penuh hormat, tanggungjawab serta tertib sepertimana pembedahan-pembedahan biasa.
PASTIKAN ANDA MEMBERITAHU AHLI KELUARGA TERDEKAT BAHAWA ANDA TELAH MENDAFTAR SEBAGAI PENDERMA ORGAN. INI A\KERANA AHLI KELUARGA ANDA ADALAH PENENTU HASRAT MURNI ANDA TERCAPAI!
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Pusat Sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur.
Talian Terus: 03-2615 6576 / 03-2694 2705 / 03-2694 2705
Talian Bebas Tol: 1-800-88-9080  
Faks: 03-2615 6269      Emel: ntrc@hkl.gov.my
Pusat Sumber Pendermaan Organ , Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.
Talian: 05- 5222 324     Faks: 05-2531 541
Pusat Sumber Transplan, Hospital Pulau Pinang
Talian: 04-2225 780     Faks: 04-2292 433
Pusat Sumber Transplan Negeri Johor, Hospital Sultanah Aminah
Talian: 07-2231 666 samb. 2751    Faks: 07-2242 694

Sumber: Terbitan Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (www.myhealth.gov.my / www.infosihat.gov.my )